Wednesday, July 11, 2012

Amok dan katana


Amok : W. W. Skeat menulis dalam Ensiklopedia Britannica 1911: "Seorang Melayu akan tiba-tiba dan tanpa sebarang sebab meluru ke jalan raya dengan sebilah keris atau senjata yang lain, dan menebas sesiapa yang dia dapat bertemu sehingga membunuhnya."

Katana : Kebanyakan samurai menggunakan pedang mereka sebagai usaha ketiga: pertama panah, kedua tombak dan akhir sekali pedang. Ini kerana, menghunus pedang adalah bagaikan membebaskan semangat seseorang atau kemungkinan besarnya terdesak kepada jalan terakhir. Untuk bertempur sehingga tiada apa yang tinggal kecuali menyerah , ditakrifkan sebagai Ken ore, Ya mo tsuki, harafiah. dengan pedang patah dan tanpa anak panah, dan ia juga digunakan sebagai perumpamaan.


Sumber : Google

Monday, October 24, 2011

Omerta (terjemahan 2)

Tapi usia sang Don sekarang telah mencecah 80 tahun, dan selama beberapa tahun kebelakangan ini kekuasaannya beransur memudar. Dia sempat menonjolkan kelemahan : dengan mengahwini seorang gadis anggun, yang telah menghadiahkannya seorang putera comel. Gadis tersebut meninggal sebaik melahirkan zuriatnya yang kini berusia dua tahun. Si tua renta ini menyedari bahawa hidupnya telah hampir usai dan tanpa dia, cosca-nya akan diluluh-lantakkan oleh coscacosca Corleone dan Clericuzio yang lebih kuat, dan dia begitu khuatir akan masa depan puteranya.

Dia sangat terharu melihat ketulusan dan penghormatan yang dizahirkan ketiga-tiga temannya itu yang rela menempuh jarak berbatu-batu hanya untuk mendengar amanat terakhirnya. Dia kemudiannya menyampaikan kepada mereka bahawa dia mahu Astorre, puteranya yang masih pucuk itu dipindahkan ke tempat yang lebih nyaman dan diasuh dalam kondisi berbeza tapi kekal dalam tradisi lelaki terhormat seperti dia.

"Aku akan pergi dengan aman," katanya, sekalipun mereka sedia maklum yang sepanjang hidupnya dia telah bertanggung jawab atas kematian ratusan orang, "andai aku tahu puteraku selamat. Kerana dalam diri anak kecil ini tersirat hati dan jiwa seorang Mafia sejati, kualiti yang jarang ada dan hampir musnah."

Dia menambah bahawa dia akan memilih salah seorang dari mereka bertiga sebagai penjaga anugerah yang luar biasa ini, dan amanah berat ini hadir dengan imbalan yang cukup besar.

"Pelik," kata Don Zeno, menatap dengan mata yang berkabut. "Megikut kebiasaannya, putera pertamalah yang diangkat menjadi Mafia sejati. Tapi dalam kes ini,setelah menjangkau usia 80 tahun, barulah segala yang dulu aku impikan menjelma. Aku bukan orang yang percaya tahyul, tapi kalau sudah ketentuannya begitu, aku yakin anak ini berasal dari tanah Sisilia sendiri. Matanya sehijau zaitun yang tumbuh dari pohon terbaikku. Dan dia memiliki sifat seorang Sisilia—romantis, menyukai musik dan bergembira. Walaupun begitu, kalau ada yang menyakitinya, dia tidak akan lupa, walau usianya masih setahun jagung. Tapi dia perlu dibimbing."

"Jadi, apa yang kau dambakan dari kami, Don Zeno?" tanya Craxxi. "Dengan lapang dada aku bersedia menjaga anakmu dan membesarkannya seperti anak sendiri."

Bianco merenung Craxxi, merenung dengan sorot pandang yang sarat kebencian. "Aku mengenal anak ini sejak dia lahir. Dia akrab denganku. Biar aku memeliharanya seperti anak sendiri."

Raymonde Aprile hanya memandang Don Zeno. Diam tak berkutik.

"Bagaimana dengan kau, Raymonde?" soal Don Zeno.

Aprile berkata, "Kalau aku yang kau pilih, puteramu akan menjadi puteraku."

Sang Don mempertimbangkan mereka bertiga, semuanya susuk terhormat. Dia melihat Craxxi sebagai yang paling cerdas. Bianco jelas yang paling ambisius dan kuat. Aprile pula seorang yang tenang, lebih mirip dengan dirinya sendiri. Tapi Aprile berhati kering.

Don Zeno, walau sedang tenat, mengerti bahwa Raymonde Aprile adalah calon yang paling cocok untuk puteranya. Dia pasti beroleh manfaat dari kasih sayang anak tersebut. Dan tentunya Aprile akan memastikan Astorre belajar cara mendepani hidup dalam dunia mereka yang beronak ranjau dan penuh tipudaya itu.

Don Zeno membungkam lama. Sebelum berkata, "Raymonde, kau yang akan menjadi ayahnya. Dan aku boleh pergi dengan tenang."

Sunday, October 23, 2011

Omerta (sebuah terjemahan)

karya Mario Puzo

CASTELLAMMARE DEL GOLFO. Desa berbatuan yang mengadap kesuraman Laut Mediteranian di sebelah Sisilia. Di sana seorang don besar Mafia sedang terlantar nazak. Vincenzo Zeno seorang lelaki terhormat, yang sepanjang hidupnya dicintai lantaran penilaiannya yang adil dan tidak memihak, siap menghulurkan tangan kepada yang berhak, dan bersikap keras terhadap orang yang berani menyanggah kehendaknya.

Saat ini tiga bekas pengikutnya sedang berdiri melingkarinya, masing-masing telah berhasil meraih kekuasaan dan posisi sendiri: Raymonde Aprile, lahir di Sisilia dan besar di New York; Octavius Bianco dari Palermo; dan Benito Craxxi dari Chicago. Namun mereka masih berhutang padanya satu pertolongan lagi.

Don Zeno adalah pemimpin Mafia sejati terakhir, yang menghabiskan umurnya untuk mempelajari dan menerapkan tradisi-tradisi lama. Dia mengenakan cukai untuk semua jenis perniagaan, tapi tidak sesekali berurusan dengan dadah, pelacuran, atau kejahatan seumpamanya. Belum pernah ada orang miskin yang datang ke rumahnya untuk meminta duit lalu pergi dengan tangan kosong. Dia sentiasa memugari ketidakadilan hukum—hakim agung di Sisilia boleh menjatuhkan keputusannya, tapi jika kau berada di pihak yang benar, Don Zeno akan memveto keputusan tersebut dengan seluruh kekuatan, dan senjatanya sendiri.

Tidak ada pemuda perayu yang boleh meninggalkan seorang putri begitu saja, tanpa Don Zeno berusaha memujuknya agar sedia berkahwin. Tidak ada bank yang dapat menyita harta seorang petani miskin tanpa campur tangan Don Zeno dalam menyelesaikan permasalahannya. Tidak ada anak muda yang ingin belajar di pusat pengajian tinggi ditolak hanya kerana kurang biaya atau tidak memenuhi syarat. Selagi mereka punya hubungan dengan cosca dan klan-nya, mimpi-mimpi mereka akan terkabul. Hukum-hukum dari Rom tidak dapat dipaksakan ke dalam tradisi Sisilia dan tidak memiliki kekuasaan atasnya; Don Zeno memastikan hal itu, tanpa kepedulian tentang semahal manapun harga yang perlu dibayar.

Thursday, October 13, 2011

Gloomy Sunday

Jamilah sedang menyeba skrin laptop bersaiz 14 inci. Melihat gambar-gambar peribadi teman facebooknya yang poser. Ada gambar berposing depan kereta recon. Ada gambar percutian di Bali dengan pakaian mandi sambil dipeluk teman lelaki yang rajin ke Celebrity Fitness. Ada gambar tergedik-gedik memegang botol kaca Jack Daniel di Hard Rock Cafe.
Ada gambar meeting di pejabat dan ada juga foto menu makanan barat di TGI Friday's.

Dia rasa terpukul.

Sedih campur lelah. Tapi dia tak mahu kalah.

Di ketik papan kekunci menyaring huruf.
“I've got everything I need except a man. And I'm not one of those women who thinks a man is the answer to everything, but I'm tired of being alone.”

Kalimat plagiat itu muncul pada paparan status. Dia senyum dengan wajah kosong.

Di mainkan lagu yang disedut minggu lepas. Volume speaker binaan dalam talaan JBL itu dimaksimakan. Bersipongang not-not piano ketukan Rezso Seress merasuk setiap ruang dengan melodi Gloomy Sunday.

Jamilah taat memandang skrin dengan mata separa terbuka. Sudah ada tiga like pada status ciplaknya itu. Dia sempat senyum sebelum memicingkan mata.

Pranngg!! Botol ubat tidur yang tak berbaki dalam genggamannya terlerai menghunjam lantai.

Sunday, October 2, 2011

Sendiri

kesendirian itu memiliki tangan-tangan sutera yang mulus,

namun dengan jemarinya yang kekar,

ia meramas jantung dan membuatnya sengsara kerana duka.


-Khalil Gibran-

Wednesday, September 14, 2011

Demi masa

Alarm menjerit. Tidur terganggu. Tekan butang padam di sisi jam. Bangun melangkah gontai ke bilik mandi. Mata separuh terbuka. Hidup suis lampu. Cahaya kalimantang mencurah. Mandi Junub. Wuduk. Solat Fajr tanpa qunut. Sapu deodorant. Capai kemeja dan sarung slack. Sembur Eau de Toilette. Teguk air mineral. Pergi dapur ambil sampah. Buka pintu. Buka pagar. Buka tong sampah. Chop! silap. Buka pintu dan kunci. Buka pagar. Buang sampah. Hidup enjin kereta. Kunci pintu rumah. Keluarkan kereta. Kunci pagar. Pukul 8.05. Berburu ke pejabat. Parking kereta. Touch in pkl 8.25. Belasah nasi lemak daun pisang. 8.45 mula memburuh. Lunch break sejam. Kembali memburuh. 5.30 usai waktu pejabat. Berambus balik. Ikut taman tasik. Ramai orang. Ada beriadah. Ada bersukan. Ada merempit. Ada yang berasmara. Sampai rumah buka pintu. Masuk kereta. Siram pokok bunga yang hidup segan mati tak mahu. Masuk rumah. Masuk bilik air. Wuduk. Solat. Minum petang. Cicip koko panas tiga dalam satu. Tonton tv. Bosan. Bunyi enggang balik sarang. Bangkit mandi. Azan mahgrib berkumandang. Solat. Tengok circus jam 8. Lawak bodoh. Tukar saluran. Masuk waktu Isyak. Tak terus solat. Layan tv series saluran AXN. Syok. Habis. Tukar Fox. Sambung layan tv series lain. Mata terkebil-kebil. Kantuk. Solat Isyak. Masuk bilik. Ada keinginan terbawah yang minta diisi. Alhamdulillaahil ladzii khalaqa minal maa'i basyara. Letih litak. Berlayar ke pulau kapuk.

Monday, September 12, 2011

Maaf, aku gagal membawa kau ke bulan

Aku dan dia berdiri di tengah dingin malam sambil memerhatikan bukit hijau yang sentosa itu dipatuk angin liar. Dia merangkul pinggang sambil pipi kanannya berlabuh dibidang dada. Aku bereaksi spontan. Merangkul tubuh muda itu ke dalam peluk. Dia tersenyum nyaman.

“Aku teringin ke sana. Merasa dingin embun di atas puncak”.

Tanpa tangguh, aku mengepak sayap melayang ke puncak bukit. Dia tersenyum senang. Aku senyum bangga. Dia memeluk lebih erat. Mungkin itu tanda terima kasih. Aku balas dengan pelukan yang lebih kuat. Saling berbagi kehangatan tubuh. Terasa waktu seakan terhenti.

“Alangkah indah kalau aku boleh singgah di awan”.

Sekejap itu juga aku terbangkan dia ke dalam gebu awan. Dia tersenyum lagi seraya menghadiahkan sebentuk cium di kiri pipi. Aku lupa diri. Cair dan meleleh seperti embun di permukaan daun. Bahagia yang tak mungkin diterjemah oleh mana-mana susunan huruf.

“Indah sungguh bulan dari sini. Tolong terbangkan aku ke sana?”

Dengan fikiran yang tak berjejak aku melulu terbang ke bulan. Dia mendakap semakin kemas sambil membisikan cinta ke telinga dengan cara paling indah. Adem malam itu masih tak mampu meredakan bahang yang mengalir disalur darah. Rasa yang mencabut segala waras.

Sudahnya sayap kecil yang dikerah melaksanakan misi besar itu tewas. Aku menjunam ditarik medan magnet bumi. Dia masih tenang di dalam rusuh. Tahu aku dan dia tidak punya banyak masa. Aku katakan dengan penuh rasa tanggungjawab;

“maaf sayang, aku gagal membawa kau ke bulan”.

Seusai mengucup dahinya yang mulus, aku dan dia terhempas jatuh lalu pecah berkeping-keping.