Wednesday, September 14, 2011

Demi masa

Alarm menjerit. Tidur terganggu. Tekan butang padam di sisi jam. Bangun melangkah gontai ke bilik mandi. Mata separuh terbuka. Hidup suis lampu. Cahaya kalimantang mencurah. Mandi Junub. Wuduk. Solat Fajr tanpa qunut. Sapu deodorant. Capai kemeja dan sarung slack. Sembur Eau de Toilette. Teguk air mineral. Pergi dapur ambil sampah. Buka pintu. Buka pagar. Buka tong sampah. Chop! silap. Buka pintu dan kunci. Buka pagar. Buang sampah. Hidup enjin kereta. Kunci pintu rumah. Keluarkan kereta. Kunci pagar. Pukul 8.05. Berburu ke pejabat. Parking kereta. Touch in pkl 8.25. Belasah nasi lemak daun pisang. 8.45 mula memburuh. Lunch break sejam. Kembali memburuh. 5.30 usai waktu pejabat. Berambus balik. Ikut taman tasik. Ramai orang. Ada beriadah. Ada bersukan. Ada merempit. Ada yang berasmara. Sampai rumah buka pintu. Masuk kereta. Siram pokok bunga yang hidup segan mati tak mahu. Masuk rumah. Masuk bilik air. Wuduk. Solat. Minum petang. Cicip koko panas tiga dalam satu. Tonton tv. Bosan. Bunyi enggang balik sarang. Bangkit mandi. Azan mahgrib berkumandang. Solat. Tengok circus jam 8. Lawak bodoh. Tukar saluran. Masuk waktu Isyak. Tak terus solat. Layan tv series saluran AXN. Syok. Habis. Tukar Fox. Sambung layan tv series lain. Mata terkebil-kebil. Kantuk. Solat Isyak. Masuk bilik. Ada keinginan terbawah yang minta diisi. Alhamdulillaahil ladzii khalaqa minal maa'i basyara. Letih litak. Berlayar ke pulau kapuk.

Monday, September 12, 2011

Maaf, aku gagal membawa kau ke bulan

Aku dan dia berdiri di tengah dingin malam sambil memerhatikan bukit hijau yang sentosa itu dipatuk angin liar. Dia merangkul pinggang sambil pipi kanannya berlabuh dibidang dada. Aku bereaksi spontan. Merangkul tubuh muda itu ke dalam peluk. Dia tersenyum nyaman.

“Aku teringin ke sana. Merasa dingin embun di atas puncak”.

Tanpa tangguh, aku mengepak sayap melayang ke puncak bukit. Dia tersenyum senang. Aku senyum bangga. Dia memeluk lebih erat. Mungkin itu tanda terima kasih. Aku balas dengan pelukan yang lebih kuat. Saling berbagi kehangatan tubuh. Terasa waktu seakan terhenti.

“Alangkah indah kalau aku boleh singgah di awan”.

Sekejap itu juga aku terbangkan dia ke dalam gebu awan. Dia tersenyum lagi seraya menghadiahkan sebentuk cium di kiri pipi. Aku lupa diri. Cair dan meleleh seperti embun di permukaan daun. Bahagia yang tak mungkin diterjemah oleh mana-mana susunan huruf.

“Indah sungguh bulan dari sini. Tolong terbangkan aku ke sana?”

Dengan fikiran yang tak berjejak aku melulu terbang ke bulan. Dia mendakap semakin kemas sambil membisikan cinta ke telinga dengan cara paling indah. Adem malam itu masih tak mampu meredakan bahang yang mengalir disalur darah. Rasa yang mencabut segala waras.

Sudahnya sayap kecil yang dikerah melaksanakan misi besar itu tewas. Aku menjunam ditarik medan magnet bumi. Dia masih tenang di dalam rusuh. Tahu aku dan dia tidak punya banyak masa. Aku katakan dengan penuh rasa tanggungjawab;

“maaf sayang, aku gagal membawa kau ke bulan”.

Seusai mengucup dahinya yang mulus, aku dan dia terhempas jatuh lalu pecah berkeping-keping.

Sunday, September 11, 2011

Sejarah

Ros duduk sambil menempelkan kepalanya ke bahu Ajib. Masing-masing sedang sibuk mengagumi sisa sejarah. Merinci segenap struktuk bangunan agam yang terbangun kerana kasih yang melimpah. Tinggalan Shah Jahan buat semua Mumtaz. Sebuah monumen cinta agung yang berbaki lara.

“Kita jangan mudah terperdaya dengan segala yang kita lihat dan dengar”.

Ros menyeluruhi wajah redup belahan jiwanya. Cuba menafsir isyarat pernyataan tersebut.

“Maksud you?”

“Cuba kita lihat ini. Tersergam istana megah dan indah. Segalanya memukau. Tapi berapa ramai yang tahu mahligai mewah ini pernah menjadi penjara jiwa sang pemiliknya. Yang menghantui hari-hari dalam hidupnya sejak mengenali makna kehilangan”.

Jeda.

“We learn from history that we do not learn anything from history”.

Thursday, September 8, 2011

Gadis yang didadanya ada Che Guevera

Gadis itu melunjur malas atas sofa lusuh diruang tonton. Cuba membunuh masa dengan propaganda satelit berbayar. Dihalakan alat kawalan jauh ke arah decoder yang kurang sensetif itu. Mencari-cari siaran sesuai. Beberapa kali alat kawalan jauh itu dihantukkan ke dinding. Dia masih lagi gigih memilih saluran.

Dikerlingnya jam dinding .

Pukul 8.05 mlm.

Beralih ke saluran perdana. Seorang lelaki lengkap bertuxedo bersama seorang perempuan berambut perang terpacul di lcd skrin. Lelaki itu membaca teks berita yang tersedia. Berita tentang merdeka.

Sekonyong-konyong, siaran terputus. Ada piksel kuning kecil tersisa disudut skrin yang legam. Gadis yang di dada berombaknya itu ada Che Guevera, bangkit dan berlalu dengan sebuah kalimat pendek;

SHIT!